Rakan WARTAMAYA

Thursday, April 8, 2010

Usul heret Mahfuz ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen ditarik balik

KUALA LUMPUR, 8 April: Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed
Said sebentar tadi menarik balik usul yang dikemukakannya semalam
supaya Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dibawa kepada
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyebut `Umno-APCO,
APCO-Umno'.

Menggunakan Aturan Mesyuarat yang sama, 36(1)(P), beliau berbuat
demikian setelah dinasihat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia.

"Saya menyahut baik (nasihat) Tuan Speaker atas apa yang diperjelaskan
oleh Pokok Sena tersebut.

"(Menggunakan) usul yang sama (iaitu) 26(1)(P), saya membatalkan usul
saya terdahulu," ujarnya.

Beliau juga menasihatkan Dewan Rakyat, khususnya Mahfuz sendiri supaya
tidak mengulangi gelaran yang dilihat sensitif itu.

Sebelum pada itu, Mahfuz mengaku bahawa beliau berniat menyebut 'Umno
APCO, APCO Umno' di Dewan Rakyat.

Pun begitu, beliau berkata, kenyataannya itu bukanlah berniat
mengelirukan Dewan Rakyat.

"Saya tidak buat mengelirukan Dewan Rakyat seperti yang diusulkan oleh
Kuala Krau," ujarnya.

Jelasnya lagi, Umno adalah sebuah parti politik manakala Firma
Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) pula adalah sebuah firma
yang dilantik oleh kerajaan secara rasmi untuk menguruskan komunikasi
negara.

Cuma, beliau bertanya, adakah Umno tidak selesa apabila rakyat
menganggap APCO mempunyai hubungan langsung dengan zionis-Israel.

Sehubungan itu, beliau enggan menarik balik kenyataannya, 'Umno APCO,
APCO Umno' walaupun Speaker terlebih dahulu menasihatkan beliau untuk
berbuat demikian.

"Buat apa saya kena tarik balik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pandikar Amin turut mengaku bahawa
wujudnya kesilapan dalam mengendalikan mesyuarat oleh timbalannya,
Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagaimanapun, beliau dalam lafaz jenaka meminta semua pihak mengambil
iktibar daripada kekecohan yang berlaku semalam.

"Jangan agresif lagi, carilah aktiviti lain," kata beliau disambut
dengan gelak ketawa di Dewan Rakyat.

Semalam, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat
keputusan melalui undian suara untuk merujuk beliau ke jawatankuasa
berkenaan selepas berulang kali menyebut perkataan Umno-APCO,
APCO-Umno.

Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu asalnya dibawa oleh
Ismail berikutan tindakan Mahfuz itu.

Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada
wakil-wakil Pakatan Rakyat termasuk Mahfuz sendiri yang meminta
penjelasan timbalan speaker berhubung keputusan berkenaan. -
Harakahdaily
Share/Bookmark

0 comments:

Blog list