Rakan WARTAMAYA

Terkenang


TERKENANG 11
AYAH SUDAH PERGI

Aku berharap agar kepulangan ayah dari tahanan mampu membawa perubahan, tapi sayang, aku tidak pasti apa yang berlaku, sejak ayah pulang, ia murung dan sering menangis.

Ibu tabah menghadapi semua itu. Dilayan ayah seperti seorang kanak-kanak kecil yang kehilangan sesuatu. Waktu makan dia ditemani, waktu tidur didodoikan dan waktu menangis, ibu lah yang memujuk.

Aku sekadar melihat dan tidak paham apa pun. Adakah ayah akan kembali normal atau terus-terusan jadinya.

Aku masih ingat, ada ketika, selesai menyiapkan makanan tengahari, ibu memandang keluar jendela. Pokok pokok liar yang tumbuh di tepi rumah, menjadi pandangan yang cukup indah buat ibu ketika itu. Ayah berihat dan kebiasaannya tiba waktu untuk ku ke sekolah.

"Mak .. adik nak ke sekolah", aku berkata sambil mencuti lengan ibu.
"Ye .. ", ringkas jawapan ibu lalu berpaling untuk berikan ciuman pada pipiku.Lembab pipinya dapat ku rasa. Ibu menangis.

Pesan ibu,"Adik doakan ayah sembuh seperti biasa tau. Baca doa lepas tiap solat. Mak tak sanggup doa seorang.", Aku hanya anggukkan kepala. Tak mahu aku melihat air mata ibu terus menitis.

Kini, sudah masuk bulan kedua, Ayah sudah boleh berbicara, namun aku tahu, ayah terpaksa memulakan kerja-kerja demi ibu dan kami. Mencari peluang baru.

Kesedihannya masih kelihatan, tapi sedikit kurang berbanding bulan sebelumnya. Hanya pada waktu-waktu tertentu.

Ayah berhadapan dengan masalah lain pula. Kereta yang sudah melebihi 3 bulan tidak dibayar, minggu lepas sudah ditarik pihak bank. Ayah cuma ada sebuah motor lama yang bakal dibawa kesana dan kemari, untuk mencari rezeki. Kerap juga motosikal itu rosak kerana mungkin enjinnya sudah tidak berapa sempurna. Ayah masih tidak boleh berpolitik seperti sebelumnya. Dia perlu mencari sesuatu untuk meneruskan kehidupan kami.

Pernah satu ketika, enjin motorsikalnya terus tidak berfungsi. Hampir 15 minit ayah cuba menghidupkan enjinya, tapi gagal. Mahu atau tidak, ayah terpaksa meminta bantuan rakan-rakan sekampung untuk ke bandar. Kami memerhatikan Ayah melangkah ke jalanraya. Sebuah demi sebuah kenderaan cuba ditahan, tapi tiada sebuah pun yang sanggup menumpangkan ayah. Besar benarkah dosa ayah sehingga tiada seorang pun yang sanggup membantu? Lupa kah mereka pada jasa ayah selama ini sehinggakan istilah sahabat atau teman sudah pupus dari ingatan?

Ayah hampa. Dia kembali ke rumah dan terduduk di tangga. Tunduk dan tangan di menongkat dahi sambil bergeleng-geleng. Kecewa benar dia. Air matanya menitis ke tanah.

Panjang dan sukar kesusahan kami sehingga aku tidak mampu untuk menulis kesemuanya, sehingga lah ayah benar-benar pulih dan mampu untuk melakukan sesuatu untuk membesarkan kami.

Setelah 3 tahun, ayah sudah mampu mengumpul wang untuk satu perjuangan baru. Ketagihan dirinya pada politik, membawa ia kembali ke arah kehidupan itu. Kebolehannya berpidato dan berbahas memang aku kagumi. Sepanjang tempoh itu, beliau mengumpul tenaga dan wang ringgit untuk bertanding di dalam pilihanraya. Kali ini, dia mahu berdepan dengan teman yang menjatuhkannya dulu.

Ayah mendapat sokongan dari rakan berbilang bangsa. Pergaulannya dengan semua bangsa dan peringkat umur memberikan diri nya kenyakinan bahawa dia akan mencapai cita cita untuk menjadi seorang pemimpin di kawasan kami.

"Ok letak di sini", ayah memberikan arahan kepada sekumpulan kakitangan yang menghantara poster dan peralatan pilihanraya. Rumah kami sudah menjadi setor barangan yang bermacam-macam. RUmahku tidak pernah sunyi lagi. Tempat berkumpul, minum dan ketawa rakan-rakan ayah. Aku masih menjalankan aktiviti sebagai kanak-kanak. Bermain dan bersuka. Sesekali aku cilok barangan yang ada di dalam setor untuk aku gunakan. Pensil, pen, lencana parti dan sebagainya. Rakan ayah tak berani tegur sebab aku anak ayah. Dibiarkan cuma di nasihat untuk pulangkan saja.

Dua bulan lagi sebelum pilihanraya tahun 1982.

"Bang En! ... " jerit suara memanggil ayah dengan gelaran nya dari bawah. Kami sekeluarga bergegas ke beranda rumah. Musa, rakan sekampung ayah berada di bawah. Jarinya menunjuk ke arah reban ayam katek yang terletak bersebelahan pondok kereta ayah. Ayam belaan ayah semuanya tergelempang. Tiada seekor pun yang masih bernyawa, semuanya sudah mati.

Ayah bergegas turun ke bawah dan dibelek-belek bangkai ayam kesayangannya. Baru semalam dia bermain-main dengan ayam tersebut, tetapi pagi ini, ia itu sudah mati. Termenung ayah di situ. Kami pun berada hampir dengan ayah.

"Mati malam tadi ni, badan ayam ni tak keras lagi", kata ayah kepada Musa.
"Abang tak perasaan ke?", tanya Musa.
"Tidak la pulak .. ", jawab ayah.

"Pelik ni Bang .. semua mati serentak!", kata Musa. Ayah dan Musa bertentang mata. Kami pula kebingungan.

BERSAMBUNG ...

Terkenang 10
AKU ANAK ORANG MISKIN

Ayah sibuk berpolitik, aku sibuk bermain. Ibu .. mengawal rumah tangga. Aku sayang amat pada ibu kerana dia lah yang membesarkan aku dan masanya banyak bersama kami. Kalau pulang ke kampung, wajah ibu akan kucium puas puas. Macam anjing kastam cium dadah. Kenangan aku banyak bersama ibu, susah mahupun senang. 

Hidup kami sederhana. Tidak kaya, tidak lah miskin. Pendapatan ayah cukup untuk kami sekeluarga. Kalau lebih, ayah akan berikan kepada jiran-jiran dan kepada orang kampung. Tabung tiada, tapi ayah banyak tumpukan kepada politik.Mungkin wangnya juga habis ke situ. Aku tak kesah asalkan makan kami cukup. 

Kami pernah melalui zaman susah. Susah teramat. 

Mungkin ianya satu kenangan yang menakutkan apabila kepulangan aku dari sekolah, ibuku menangis di dalam rumah. 
"Kenapa mak?", tanya aku agak terkejut. Kak Ngah turut berdepan dengan ibu. 
"Ayah kau di tahan polis", kata ibu tersedu-sedu. 

Aku tidak paham semua ini, tapi ibu jelaskan bahawa ayah di tahan berkaitan politik. Fitnah? Itu biasa .. dari dulu lagi. Jadi kalu sekarang ni masih ada fitnah, aku tak pelik langsung. Dah biasa dan dah pernah rasa.

Tempoh ayah di tahan agak lama juga. Ibu adalah suri-rumah sepenuh masa dan kami adik beradik, semua nya masih belajar. Kami tidak punyai apa apa pendapatan ketika itu. Kalau ayah kena tahan, memang kami di dalam keadaan susah. Pada peringkat awal, mungkin ok. Tapi lama kelamaan, memang kami lalui kesukaran.

Setelah tiga minggu tidak bersama ayah, ibu terpaksa teruskan kehidupan. Wang yang tinggal tidak seberapa, perlu di jimatkan. Untuk belanja kami bersekolah dan bil bil yang perlu di bayar. Dulu bil tidak lah seperti sekarang, mungkin rendah. Tapi kami bukan orang senang, dan semua itu menjadi beban ibu. Jiran-jiran dan saudara bukan tidak membantu, tapi ibu tidak pernah bercerita kesusahan kepada orang lain. Mungkin dia malu. Mungkin juga dia berharap kalau ingin membantu, biarlah ikhlas dan dia tidak perlu meminta-minta.

Suatu hari, aku melihat ibu dari tingkap rumah. Ibu sedang memetik cili yang ditanamnya dulu. Mungkin kerana tidak berjaga, maka pokok cili itu agak terbantut. Saiznya kecil dan berbengkok bengkok. Tidak segar.

"Nak wat apa mak !", aku laung.
"Tak der apa, adik main dengan kakak kat dalam. Mak nak petik cili ni jap", kata ibu.

Aku akur dan tunggu sahaja dirumah. Bermain dengan kakak? Tak payah. Dia tak suka aku. Kalau main dengan kakak, mesti gaduh. Macam anjing dan kucing.

Selepas ibu masuk, aku terus ke dapur. aku lihat ibu sedang membersihkan cili yang dipetiknya. Tidak banyak tapi boleh la.

"Mak .. nak wat ape ni?", aku bertanya. 
"Mak nak masak. Adik tengok je tau .. Jangan kacau", kata ibu. Aku memerhati dengan teliti.

Aku tau. DI dapur cuma ada nasi dan tiada lauk. Semalam kami makan kangkung yang ibu petik di tepi parit bersama nasi. Mungkin menu kami hari ini adalah cili. Lauk dah lama kami tak rasa.

"Mak .. ayah bila balik?", aku tanya.
Ibu tidak cakap sepatah, cuma air matanya mengalir. Sejak itu aku tidak bertanya lagi tentang ayah kepada ibu. aku tak mau ibu menangis. Kami sudah cukup susah dan aku tidak mahu susahkan ibu lagi. Setelah dua bulan, ayah dibebaskan dan keadaan kami beransur pulih.

Resepi masakan cili itu menjadi resepi yang paling aku gemari sehingga hari ini. Kalau aku masakkan ia untuk keluarga dan anak-anak, aku akan ceritakan pengalaman ini. Biar budak budak ni tahu bahawa aku anak orang miskin. Dan kami pernah susah sehingga hanya makan nasi dan berkuahkan jelantah (sisa minyak masak).

RESEPI TUMIS CILI BESAR
Ramuan
- Cili besar
- Bawang Putih
- Bawang besar
- Belacan
- Air asam jawa
- Gula 
- Garam

1. Cili dihiris halus
2. Bawang putih, bawang besar, Belacan di tumbuk.
3. Perah asam jawa dan dapatkan semangkok airnya.

Panaskan minyak masak. Selepas ia masak, masukkan bahan yang ditumbuk tadi kedalam kuali. Biarkan aroma nya keluar dan masukkan cili yang dihiris tadi. Gaulkan ia. Masuk air asam sehingga cili tenggelam. Tambah gula, garam dan ajinomoto secukup rasa. Biarkan menggelegak dan angkat. 

Sudah siap untuk dihidang bersama nasi panas. Selamat menjamu selera kawan kawan.

TAMAT


Terkenang 9
AKU BUDAK DEGIL

Musim menuai adalah waktu yang dinanti-nantikan. Kalau tuan punya sawah, ini lah masa untuk menerima wang, hasil dari tuaian. Bagi kanak-kanak cam aku, ini lah masa untuk mencari ikan dan bermain air.

Ketika musim menuai, air sawah akan dikeringkan. Air cuma ada di kolam atau dilopak-lopak. Disitulah pulak ikan berkumpul. Sebut apa jenis ikan, pasti ada. Keli, sepat, puyu, duri dan mungkin ular air.

Waktu yang paling sesuai untuk aktiviti mencari ikan adalah selepas waktu sekolah. Maka, disekolah, tiada lah cerita tentang lain kecuali tentang bagaimana untuk mencari ikan dan dimana sasarannya.

Muji, Aman, Ishak dan aku sudah berjanji untuk bersama petang ini dan lokasi sasaran kami adalah sawah Haji Malek. Tidak jauh dari rumah aku, jaraknya lebih kurang sepelaung (sejeritan). Sebelum sampai ke sawah Haji Malek, kita perlu melalui parti besar dimana air masih banyak bertakung mengalir ke sungai. Ia nya berguna untuk membasuh tubuh selesai selesai menggagau (meraba ikan di dalam air berlumpur).

Seperti biasa, guni baja untuk isi ikan dan baldi untuk buang air sekiranya perlu. Aku terjun dulu diikuti oleh Aman, Muji dan Ishak. Banyak main dari mencari ikan sebenarnya, tapi Muji memang hebat menggagau. Tangannya akan cepat kesan di mana ikan berada dan bila tangan di angkat dari air, pasti memegang kepala ikan.

Pada musim menuai, tiada istilah sawah Haji Malek, Sawah Haji Hassan atau Sawah Jamian, kerana semua sawah adalah aku punya. Ikan di dalam sawah adalah milik sesiapa yang rajin. Kalau bertemu dengan tuan punya sawah, itu nasib la. Tapi itu semua aku tak risau sebab, bab menyelinap dalam padi sekiranya ketahuan tuan punya sawah, adalah kepakaran aku. Baru dengar isyarat dari kawan, pasti aku orang pertama akan hilang dari pandangan. Mungkin ini pun anugerah yang Tuhan bagi kat aku.

Guni baja sudah penuh dengan ikan dan sekarang, sudah sampai masa untuk berkubang di dalam parit pemisah sawah dan jalanraya. Guni di ikat dan kami pun terjun ke kolam. Macam macam style. Ada yang kepala dulu, kaki dulu dan cara yang paling aku gemar adalah terjun kemudian peluk kaki. Bontot jatuh dulu mencecah air. Mungkin kulit bontot aku tebal asyik kena rotan jadi kalau di pukul air parit, bontot aku tak terasa sakit pun.

Kalau berkubang, acara paling best adalah baling lumpur ke kepala kawan. Perlu menyelam, kepal lumpur ditangan, timbul dan baling mangsa. Siapa tak cekap, kepalanya penuh lumpur. Nasib tak baik, lumpur masuk ke telinga. Kalau tak mandi dengan betul, lumpur akan menjadi keras di dalam telinga. Itu lah identiti budak kampung.

Sesungguhnya Malang sentiasa tidak berbau. Tiba-tiba, "Adik ! ... Ayah kau datang!". Aku pun tanpa berfikir panjang terus berenang ke bawah jambatan dan diam sebentar menanti isyarat seterusnya dari kawan. Aku perhatikan mata rakan rakan yang sedang terapung memerhatikan seseorang yang datang ke arah jambatan. "Sah ! .. Ini bapak aku.", kata dalam hati. Jantung berdegup kencang.

Ayah sudah memijak jambatan. Berat tubuhnya memberikan syarat kepada jambatan dan seterusnya memberikan riak kepada permukaan air. "Ada nampak adik?!!!", tanya ayahku kepada kawan kawan."Tak der cik .. ", kata Muji. Aku perlahan lahan menyelam. Tak kelihatan langsung kepala. Menahan nafas sebaik mungkin.

Tangan ku berpaut kepada tiang jambatan. Kalau ayah ku bergerak, pasti akan terasa tiang bergegar. Aku tidak rasa perubahan. Tiang masih tidak memberikan sebarang isyarat. Aku terus memeluk. Bimbang kalau tubuh terapung dan pecah rahsia. Kalau aku kena, kawan-kawan lain pun pasti kena kerana mnipu.


Aku terus menahan nafas. Sudah hampir 2 minit, ayah masih tidak bergerak. Matanya mungkin memerhati sekeliling. tunggu kalau kalau aku timbul dan pastinya aku akan terkantoi dengan cemerlang dan rotan ditangan, sudah bersedia untuk memberi stroke yang terbaik untuk bontot aku.

KEadaan sudah semakin genting. Udara di dalam mulut sudah habis digunakan. Aku rasanya air sudah masuk ke dalam telinga. Kekadang tertelan air lumpur. Ntah berapa cawan air parit sudah ku telan. Air yang masuk ke dalam mulut menolak angin ke dalam perut dan aku cuba mengawal untuk tidak terkentut di dalam air. Buih buih menggelegak terhasil bila air terkeluar dari bontot. "Aduh .. "

Aku terpaksa timbul. Kalau aku tak timbul sekarang, Innalillah.

Sambil tersenyum aku timbul lalu terus memerhatikan kawan kawan disekeliling. Kawan kawan terpegun dan bercakap sepatah pun. Aku beri isyarat tangan bertanya kalau kalau ayah aku dah pergi. Dan aku terasa jambul aku dipegang dan membantu aku naik ke atas. Selepas jambul di lepas, tangan besar berpindah ke telinga. Hanya Tuhan yang tahu betapa aku takut waktu tu. Tidak lain, tidak bukan, tangan ayah aku. "ALAMAK .. MAMPUS LA AKU", dalam hati.

Ayah tidak merotan aku di depan kawan-kawan. Itu bagusnya ayah. Dia tarik telinga aku dan diheret pulang ke rumah. Tu jam tak der rasa malu dah. Telinga aku mungkin terasa panjang sedikit dari biasa. Sesampai dirumah, aku di terus di bawa ke dalam bilik air dan Ayah terus belasah aku sepuas hati.

Cara aku nangis Sorry

Malam tu aku tak boleh duduk kerana sakit bontot. Nak makan pun tak der mood. Walau lapar sekali pun aku terpaksa tahan kerana aku tak sanggup berdepan dengan ayah di meja makan.

Cam biasa .. tengahari esoknya aku teruskan aktiviti berkubang lagi. Sekali mungkin kantoi, tapi lama lama semakin pandai. Maklumlah aku budak degil.


MUJI - Sekarang pegawai di Jabatan pertanian
AMAN - Sekarang Bekerja di syarikat swasta
ISHAK - Sekarang berjawatan Kapten Kapal dagang
AKU - Ntah apa apa ...

TAMAT


TERKENANG 8
AKU GERAM


"Adik .. ! .. ", jerit Ayah.

"Ye Ayah .. ", jawab aku.

Kalau menyahut panggilan ayah, memang suara aku paling cun. Kalau jawab kasar, nanti aku kena belasah. Kena mantain comel bro.

"Adik tolong gi ke pekan, belikan Ayah kertas manila-kad", kata ayah. Aku cuma terdiam, tapi ..nak tak nak .. tangan aku hulur. wang RM0.40 diberikan. Pada zaman tu, satu keping kad manila cuma RM0.20 je. Jadi, kalau dua keping RM0.40 lah.

"Beli warna biru satu, merah satu", sambung ayah lagi.

Aduh .. mataku memerhati jam di dinding .. jeng jeng jeng ..

"Hmmm ... Pukul 9 mlm", bisik dalam hati. "Kacau ni .. "

Jantung berdegup kencang giler. Hari dah malam .. Memang Ngeri ya amat nih.

Ibu yang sedang melipat kain, menjeling saja. Kak Ngah yang sedang membantu ibu, senyum sinis. Geram sungguh kalau aku tengok muka dia waktu tu. Nak marah tak boleh sebab ayah ada di depan. Kalau aku marah, pasti aku yang kena marah pulak.

Jarak rumah aku ke bandar tak jauh, cuma 3 kilometer, lebih kurang la. Perlu melalui jalan yang gelap gelita. Tak der lalu lintas dan kenderaan cam sekarang ni. Semuanya gelap, tiada yang gelap, melainkan yang gelap-gelap belaka. Aduhh !

Ibu tahu tugasnya dan terus mencapai ubat nyamuk serta dibakar. Dihulurkan pada aku kerana basikalku tiada lampu, jadi ubat nyamuk yang di pasang itu sebagai sedikit isyarat. Wat Penyedap hati.

Aku capai basikal dan terus mengayuh laju. Ketika mengayuh, macam-macam surah al-Quran yang aku baca. Kekadang perlahan dan kekadang sedikit kuat. Kalau rasa bulu tengkuk dah naik tegak, akan ku tinggikan suara. Tapi dalam kepala tetap terpikir macam macam perkara, terutamanya kisah antu pocong, antu lompat-lompat, hantu raya, kopek, pontianak dan macam macam jenis hantu lagi.

Kekadang teringat juga arwah Wak Jamil yang baru meninggal minggu lepas. Jantung terus berdegup kencang. Tak tau nak dibayangkan.

Sesampai di Pekan, sedikit rasa lega sebab, lampu jalan sudah menerangi. Tapi aku tak boleh perlahankan kayuhan sebab aku perlu pulang sebelum jauh malam.

TOkey kedai runcit di bandar memang dah kenal aku. Cakap sepatah, serahkan wang. Itu kerja aku.

Selepas beli dan bayar, aku kembali mengayuh basikal memecut selaju mungkin. Basikal berdecit dan berbunyi-bunyi memberitahu basikal ku sudah uzur dan banyak skru dah semakin longgar. Tapi aku belasah selagi boleh.

Aku melalui jalan yang aku lalui tadi dan dari jalan yang terang, kembali ke jalan yang gelap. Di kanan sawah padi dan di kiri kebun kelapa. Ubat nyamuk di tangan aku pastikan tidak terpadam.

Sesampai dirumah, biasanya aku tidak perlahankan basikal dan langgar tiang rumah selagi mahu. Tanda protes dan tanda ketakutan ya amat. Ayah dan ibu pasti tahu, aku sudah pulang. Termengah-mengah kepenatan, naik ke atas rumah dan menyerahkan manila kad itu kepada ayah.

Sekali lagi aku jeling kak ngah aku masih tersenyum sinis seperti sebelum aku bertolak tadi. Eeee ... geramnya aku ... Tapi aku lega, satu tugasan sudah selesai dan keesokan paginya, aku temui ibu.

"Mak .. tolong cakap ngan ayah la .. kalau nak suruh tu, biar lah siang, malam takut la mak", kataku pada ibu.

"Ye laaa .... ", jawab ibu ringkas tapi aku puas hati jawapan itu.

Dan malam esoknya, aku disuruh lagi ke pekan untuk mencari barang lain pula.

Eee ... geramnya aku ... !

TAMAT

TERKENANG 7
MENCARI KERANG

Sebelum bercadang untuk mencari kerang, Mbah Jamal akan mendapatkan maklumat tentang air pasang surut. Kerang tidak boleh di cari kalau air pasang. Nak mati lemas?

Barangan yang perlu dibawa cuma Guni Tepung (Cap 3 Kunci: Kalau zaman dulu) dan tong plastik besar. Kalau dulu, aku boleh masuk dalam tong itu, tapi kalau saiz skrg dah tak bleh la.

Waktu tu, aku, Paman Osra (Pakcik), Mbah Jamal (Allahyarham) dan Zaki (Pakcik) akan bertolak seawal pagi. Perjalanan kami dari kampung ke laut cuma lebih kurang 15 minit berbasikal.

Sebelum ini tiada seorang pun adik-beradik aku yang dibenarkan untuk ke laut. Pastinya, aku cuma beritahu mak dan minta mak rahsiakan dari pengetahuan ayah. Kalau ayah tahu, bontot aku pasti berbirat kena rotan. Tapi mak pun dah jemu dengar aku meraung, jadi mak setuju untuk rahsiakan.

2 basikal, aku membonceng Zaki dan di depan Mbah Jamal membawa Paman Osra. Melalui rumah-rumah kaum Cina di Bagan, terus sampai ke birai pantai. Di sana kami letakkan basikal di celah-celah pokok bakau yang tumbuh liar. Ketika itu kurang sangat pencuri, jadi meletakkan basikal tanpa kunci, tidak mengundang sebarang risiko.

Guni kami tinggalkan di basikal dan tong plastik kami jinjing ke pantai yang berselut terus ke laut. Aku hanya mengekori mereka sambil mata mengintai apa yang mereka buat. Nak belajar kaedah mencari kerang. Mata kena sedikit liar.

Sesampai ke selut, kaki ku sudah terbenam jauh. Terbenam sehingga ke paras lutut. Nasib baik ada tong plastik, tubuh aku berpaut kepada tong tersebut. Rasa geli geleman pun ada sebab tidak jauh dari situ ada kandang babi yang najisnya di alirkan ke laut. Hendak atau tidak, aku layan juga.

Sambil menolak tong plastik itu, tangan dibenamkan ke dalam lumpur, meraba-raba untuk merasa-rasa keras kulit kerang. Kalau tersentuh, kerang itu akan diletakkan di dalam tong tersebut.

Tidak banyak kerang yang aku perolehi kerana aku tak serius mencari kerang, cuma gatal nak mengikut. Nak merasa la tu kononnya.

Sayup-sayup ditengah laut kelihatan, sampan dan bot yang saiznya kecil. Laluan air menuju kepantai dipenuhi air yang sedikit mengalir ke laut lepas menunjukkan air surut.

Kami akan pulang sekiranya air mengalir kembali ke pantai, menandakan air sudah mula pasang. Tapi lewat lagi. Cukup masa untuk aku bermain main di dalam lumpur. Lama kelamaan, aku makin sesuai dengan kaedaan dan dari mencari kerang, aku juga sibuk mencari siput-siput yang pelik bentuknya untuk ku bawa pulang.

Lewat tengahari, matahari berada di atas kepala dan bot sudah mula pulang ke pantai melalui laluan yang air yang semakin penuh. Menyusuri lautan lumpur menuju kepantai dan di sana hasil tangkapan akan kami masukkan ke dalam Guni Tepung dan bawa pulang.

Yang menyedihkan, kaki aku berubah menjadi hitam dan sukar benar untuk menanggalkannya dari kulit. Itu semua bekas lumpur. Biar di gosok dengan berus dawai sekali pun, ia masih kelihatan. Seingatan aku, hampir 3 hari kulit aku berlainan warna dari tapak kaki ke lutut.

Dulu, ke sekolah, kami cuma mengenakan seluar pendek, maka aku jadi bahan lawak kawan kawan. Manusia berbelang-belang.

Alfatihah untuk Mbah Jamal yang telah lama meninggal hampir 10 tahun dulu. Zaki, tidak lagi aku temui, mungkin sudah merantau jatuh dan Osra kini menjadi bomoh dikampung.

TAMAT



Terkenang 6
MESIN TAIP LAMA
Dulu tiada komputer. Tiada yang sangka akan ujudnya komputer pun ..
Kalau mengisi borang, menulis cerpen atau surat, hanya menggunakan mesin taip (type writer). Kerja ayahku memang menggunakan peralatan ini. Jadi, kalau waktu malam, kami semua didendangkan dengan alunan ketukan huruf mesin taip sehinggalah kami tertidur.Mesin taip ayah selalu rosak.

Well .. aku lah yang merosakkannya. Tapi aku bukan lah suspect utama kerana muka aku memang innocent bila waktu soal siasat.

Pada yang tak biasa dengan bunyian ini, ianya memang la agak bising, terutama di waktu malam. tapi kalau dah biasa, tidak lah mengganggu sangat.

Bila ayah meninggal dunia pada tahun 1982, rumah menjadi berubah sunyi.
Terasa amat kehilangannya.

TAMAT

Terkenang 5
LAGU UNTUK AYAH

BUkan senang untuk aku meminta apa apa dari ayah. Jadi cara mudah untuk aku guna kali ini adalah memberitahu ibu. Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam. Tapi selalunya nasib tak memihak kepada aku. Apa kan daya, cuba kena cuba. Mana la tau, nasib ...

Aku tunjuk muka manja pada ibu dan berkata, "Ibu .. saya mau gitar".
Ibu tak jawab sepatah, dia cuma tengok wajahku dengan sayu. Mungkin dalam hati ibu dah berkata,"Bakal tak dapat budak ni". Ibu cuma mengangguk dan aku pun beredar mendapatkan teman teman.

Petang itu aku perasan ayah pulang dari kerja. Dari halaman rumah, aku lihat ibu bercakap dengan ayah. Mungkin niat aku tu, menjadi salah satu tajuk bualan mereka. Sambil bermain, mata ku terus memerhatikan ibu dan ayah dari jauh.

Ayah tak menunjukkan sebarang reaksi, begitu juga ibu. Dalam hati berkata, "Arghh .. habis la. Bakal tak dapat la"

Malam tu aku tanya ibu,"Ibu dah cakap pada ayah?".
Ibu menjawab,"Dah .. hang tunggu je la. Kalau ada, ada. Kalau tak der, nak wat camana. Kita bukan orang senang."

Hari demi hari, aku menanti, tapi masih tiada sebarang berita. Perasaan aku dah hancur luluh. Sudah ku bilang pada Mail beberapa kali. Ayah masih belum beli. Mail yang berjanji mahu mengajar aku bermain gitar, bertanya saban hari. Mungkin dia pun boring juge sebab asyik main gitar sorang diri. Kalau aku ada, mungkin kami boleh bermain bersama.

Selang seminggu, aku pulang ke rumah keletihan. Ku lihat di atas meja, sebuah gitar kotak berwarna biru. Bukan lah jenama yang baik, tapi gitar tetap gitar. Ada tali dan boleh berbunyi. Belasah je la. Gembira tak terkata. Tukar baju dan terus aku kerumah Mail.

Aku masih ingat, lagu pertama yang aku minta Mail ajar, berjodol 'Ayah'. Tujuan aku belajar lagu tu adalah kerana ingin mengucapkan terima kaseh aku kepada ayah kerana belikan gitar.

Kenangan itu, aku masih ingat sehingga hari ini dan selepas 2 minggu belajar, aku nyanyikan lagu itu di depan ayah dan aku lihat ayah mengalirkan air matanya. Aku tau suara aku tak sedap, tapi aku nyanyi dengan ikhlas.

LAGU AYAH
(Ciptaan Rinto Harahap)

DIMANA AKAN KUCARI
AKU MENANGIS SEORANG DIRI
HATIKU SELALU INGIN BERTEMU
UNTUKMU AKU BERNYANYI

UNTUK AYAH TERCINTA
AKU INGIN BERNYANYI
WALAU AIR MATA DI PIPIKU
AYAH DENGARKANLAH
AKU INGIN BERJUMPA
WALAU HANYA DALAM MIMPI

LIHATLAH HARI BERGANTI
NAMUN TIADA SEINDAH DULU
DATANGLAH AKU INGIN BERTEMU
UNTUKMU AKU BERNYANYI

UNTUK AYAH TERCINTA
AKU INGIN BERNYANYI
DENGAN AIR MATA DI PIPIKU

AYAH DENGARKANLAH
AKU INGIN BERJUMPA
WALAU HANYA DALAM MIMPI



TAMAT
--------------------------

Terkenang 4
MAIL TOKEY WAYANG

"Assalamualaikum !", suara dari dari depan.

Bergegas aku ke luar ... "Alaikumsalam .. Mail .. wat per?"

"Mai jap .. aku nak cakap ngan nko.", jawab Mail.

Mail berbisik dengan aku tentang sesuatu. Mak melihat dari atas beranda rumah.

"Apa rahsia sangat tu?", tanya mak.

Aku terus naik ke atas bertemu mak. "Mak minta 10 sen", rayu aku dengan muka kesian.

"Nak wat apa?", tanya mak.

"Nak tengok wayang", aku jawab.

"Ishk .. jangan, nanti bapak marah", nasihat mak.

"Wayang kat umah Mail ... ", aku jelaskan.

"Umah Mail ada wayang?", tanya pelik mak aku.

"Yea .. semua Mail dah panggil. Mail skarang dah jadi tokey wayang mak.", kata aku lagi.

Ibu tak cakap apa lagi, cuma geleng kepala. Ibu ke dapur dan mencapai balang di atas gerobok buruk serta mengambil duit 10 sen yang aku minta.

Sekejap lagi, semua kawan dah kumpul depan rumah menanti aku kuar. Mail dan Aman pun ada. Minyak wangi ku sembur seluruh baju. Bedak penuh muka. Minyak rambul Brylcreem aku lumur kat kepala. Berkilat habis. Kalau matahari memancar, mesti silau mata.

"Jom .. !", aku teriak dan kawan semua ikut dari belakang. Mengayuh basikal menuju ke rumah mail. Duit 10 sen tadi memang ada dalam poket. Aku raba dan pasti tidak hilang.

"Assalamualaikum!", jerit Ramli, kawan aku yang datang bersama.

"Walaikum salam .. !", suara orang tua.

"Itu mesti mak Mail", dalam hati aku. Bila keluar sahaja ke beranda rumah, ibu Mail terus memanggil Mail keluar, "Mail kawan kau dah datang."

Aku tak nafikan Mail ni memang kreatif sikit. Kalau dikampung kita panggil Mail gitar. Dia memang terror main gitar dan dia juga akal panjang. Akal kelentong dia memang hebat.

"OK .. mari naik semua. Beratur ! ... 10 sen hulur sini", mail mengutip setiap sorang duit 10 sen dan dikembalikan keratan tiket yang dia buat sendiri. Bayar tiket wayang la tu. Aku mengikut je. Tak membantah pun. Dalam kepala, macam macam ada. Mungkin cerita best? Cerita lucah? ... Tak kira lah cerita apa pun.

"Jom .. ikut aku", kata Mail menuju ke bilik ibunya. Aku bertambah excited ni.

"Nko wat ape tu Mail?", jerit ibu. Mail tak jawab sepatah. Mail tunjukkan katil ibunya pada kami.


"Mari semua masuk bawah katil. Kaki berlunjur ke sini dan kepala mengadap ke sana. Semua meniarap dan tengah biar kosong, aku nak baring di situ", kata Mail.

"Adehh .. apa pulak Mail ni?", hati aku berbisik lagi.

Dia mengambil lampu suluh dan meniarap di tengah tengah.Di letak di tepinya satu longgok kartun kertas yang sudah siap di potong mengikut bentuk.

"Ok ... kita mulakan cerita .. ", kata Mail.

Mail pun berdialog sambil menggoyangkan patung patung yang diukirkan nya itu mengikut jalan cerita. Macam wayang kulit pulak dah. Aku dah mula ngantuk dan tertidur. Duit 10 sen aku dah lesap disapu dek Mail. Kira-kira 10 minit cerita pun selesai. Ramli mengejutkan aku dari tidur.

"Ok tak?", tanya Mail.

Nak jaga hati kawan .. aku kata,"Ok jugak la .... "

"Kalau nkorang nak tengok lagi, aku boleh ulang .. bayar 10 sen lagi", kata Mail.

"Tak yah la Mail .. aku kena gi kedai ni.", aku bagi alasan.

Kami pun pulang mengayuh basil perlahan-lahan. Ramli kata, "Huh .. langsung tak best cerita Mail tu. Habis duit aku 10 sen."

Aku rasa rugi bersolek handsome masa nak pegi tadi. Rupanya cuma nonton wayang kulit bawah katil rumah Mail.

TAMAT
---------------------



Terkenang 3
Best kalu ada kenduri kawin ni. Terutama bila musim cuti sekolah. Bleh lepak umah saudara dan bermain dengan sepupu-sepupu. Biasa la, yang paling comel tu ... aku la. Bermalam di rumah sepupu memang la syok.

"Nkorang semua diam .. aku nak hidupkan lampu gaslin", kata Pak Ngah bagi amaran. Dia ni garang sikit, jadi kami yang takut pun terus diam, berubah macam kayu. Ada juga yang berubah jadi batu. Tak cakap sepatah pun sbb rotan ada ditangannya. Pakcik aku ni rabun sikit, tapi kerana susah sangat menekan punat gaslin tu, ditanggal cermin mata dan letak di tepi.

Pam gaslin terus di pam. Berpeluh jugak aku tengok. Kalau sukar sangat, akan dimasukkan cecair melalui lobang atas (thinner) dan kena kepada mentol (kain lembut cap Butterfly). Cecair yang lebih itu meleleh ke tepi tabung gaslin dan sampai ke lantai.

Khairani, sepupu ku cuba memberitahu, "Pak ngah ... ", "Diam !", di potong ayat Khairani dan menyuruh diam. Mungkin dalam hatinya, "Degil budak ni".

Api dah mula menyambar kain Pak Ngah. Mungkin selepas terasa panas, Pak Ngah bingkas bangun, melompat dan lari lintang pukang terjun melalui pintu depan. Tangga pun lupa nak guna. Zass lompat ke bawah.

Kami terdiam tak cakap sepatah. Gaslin kembali padam. Semua tertanya-tanya. Kelu lidah hendak berkata.
Makcik makcik di dalam rumah, riuh rendah. Menjerit-jerit dan yang melatah tu terus melatah, tak tentu arah.

Bila semua reda, kelihatan pakcik naik semula dengan muka bengang.
Kainnya dah jadi cam mini skirt.


TAMAT
---------------------


Terkenang 2 
 Kami ada 5 adik-beradik. Abang Long dan Kak Ngah dapat basikal dan aku kena pinjam harta mereka. Waktu tu basikal cuma RM20/sebuah, tapi mahal pada kami. Aku tau, kalau aku mintak sampai kuar air mata darah pun, aku tak kan dapat. Ayah cuma beli dua buah basikal je.

 Jadi mau tak mau, aku terpaksa kongsi. Kerana abang long aku garang, jadi aku kena bodek kak ngah untuk bagi pinjam. Dia ok dan kami bergilir-gilir tunggang.

Dari rumah ke kunci air yang jaraknya 100 meter. Mula-mula kak ngah tunggang (bodek sikit), pergi dan kembali ke rumah dan kemudian aku tunggang pula. Begitu lah cadangannya.

 Biasa la .. aku mesti nak lebih. Jadi dia bawak 100 meter, aku pergi lagi jauh 300 meter. Nasib tak baik, aku accident masuk celah pokok ubi. Mengelak motosikal. Nasib baik tak masuk parit. Kalu tak, mesti arwah dah aku sekarang ni.

 Aku tahu, kalau ayah dapat tahu, mesti aku kena marah. Jadi aku jalan dengkut-dengkut macam orang sakit dan kemudian ku cucuk sikit mata, bagi kuar air. Sedih sangat la tu.

 Sampai di rumah, aku tetap kena belasah sebab Ayah dapat tahu basikal tu dah patah dua.


TAMAT
---------------------



Terkenang 1
Bila waktu malam tiba, kami akan pasang pelita di luar kelambu kemudian abang akan buat bayang bayang, siap dengan dialog. Bila dia dah penat, aku pula akan buat benda yang sama, tapi dialog cerita yang lain. Bila penat, semua tertidor. Waktu tu tiada tv lagi.

Sekarang dah tiada lagi. Semuanya ubat nyamuk modern.

...

Blog list