Imbas : Falsafah Ramadan tersasar
KETIKA menulis untuk ruangan Ihya’ Ramadan minggu ini, penulis baru sahaja tiba di Dubai setelah lapan hari di Jeddah dan Tanah Suci Mekah untuk menghadiri persidangan antarabangsa mengenai kewangan Islam di samping mengerjakan umrah. Alhamdulillah, pengalaman berpuasa dan bersidang pada bulan Ramadan memberikan suatu kemanisan buat penulis yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Seperti yang dinukilkan minggu lalu, Ramadan di Mekah bagaikan suatu pesta. Umat bagaikan berebut-rebut melakukan ibadah dan menghidupkan malam dengan aktiviti yang mengagung dan mengesakan Allah.
Sememangnya rutin harian penduduk di kebanyakan negara Arab juga turut berubah setiap kali Ramadan. Waktu malam di sepanjang Ramadan di negara-negara Arab lebih ceria dan aktif berbanding siang. Gedung- gedung membeli-belah lebih banyak beroperasi waktu malam sehingga subuh.
Malah program persidangan yang penulis hadiri di Jeddah juga diadakan pada waktu malam. Inilah pertama kali penulis merasai pengalaman menyertai sebuah persidangan antarabangsa yang dimulakan selepas sembahyang tarawih iaitu, pukul 10.30 malam dan berakhir pada waktu sahur. (Click topic untuk selanjutnya)
Hari pertama persidangan memang cukup mencabar buat penulis dan delegasi Malaysia yang kebanyakannya merupakan penasihat-penasihat syariah bank-bank tempatan. Apa tidaknya masa yang selalunya digunakan untuk tidur terpaksa pula bersengkang mata mengikuti program persidangan.
Rata-rata delegasi Malaysia bagaikan terpaksa berjuang bermati-matian untuk terus aktif walaupun sesekali terlena. Inilah tradisi masyarakat Arab pada bulan Ramadan yang menukar rutin daripada tidur kepada berjaga di sepanjang malam. Mereka di sini hanya tidur selepas subuh atau selepas zuhur.
Dalam perjalanan pulang, penulis singgah sehari di Dubai untuk menghadiri mesyuarat dengan Bank Islam Emiriyah. Ini bukan kali pertama penulis ke Dubai. Namun setiap kali ke sini kita pasti kagum dengan pembangunan pesat kota kosmopolitan dengan pelbagai bangunan moden pencakar langit.
Ini juga sebahagian daripada manifestasi keghairahan kerajaannya untuk menjadikan Dubai kota raya moden dan maju. Bahkan Dubai begitu beriya-iya ingin mendahului Malaysia dari segi pembangunan kewangan Islam hingga mengumumkan pelbagai insentif untuk menarik pelabur asing menyertai Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai.
Pesta
Berpuasa Ramadan di Dubai juga mencetuskan pengalaman berharga. Seperti masyarakat Arab di kebanyakan negara di Semenanjung Tanah Arab, kedatangan Ramadan di Dubai juga di sambut meriah bagaikan sebuah pesta. Walaubagaimanapun berbanding suasana di Mekah yang lebih terjurus kepada suasana perlumbaan melakukan ibadah, senario di Dubai jauh berbeza. Di sini kemeriahannya bukan sangat terletak kepada aktiviti ibadah, sebaliknya dipenuhi pelbagai program hiburan dan pesta-pestaan.
Di sana-sini pelbagai festival dianjurkan pada waktu malam sehingga ke subuh. Antara festival dan pesta yang ketika ini sedang rancak berlangsung termasuklah festival membeli-belah, festival tarian dan nyanyian lagu-lagu nasyid dan hiburan tradisi Arab.
Apa yang menarik ialah suasana ‘berpesta’ seperti ini lebih banyak berlangsung pada bulan Ramadan, tidak pada bulan lain. Bahkan suasana Syawal atau Hari Raya Aidilfitri tidaklah semeriah bulan Ramadan. Masyarakat di sini tidak begitu teruja dengan Hari Raya Aidilfitri seperti di Malaysia. Bagi mereka Hari Raya Puasa hanyalah pada hari pertama. Itu pun tidak semeriah Malaysia.
Cuma sedikit meralatkan penulis, program-program hiburan yang dianjur dan dijalankan sepanjang Ramadan di Dubai ini kadangkala tersasar daripada maksud dan falsafah sebenar Ramadan. Suasana dan semangat ‘berpesta’ yang dianjurkan lebih banyak mendorong masyarakatnya untuk berhibur berbanding beribadah.
Apa tidaknya sesetengah daripada masyarakat di sini rela mengorbankan solat tarawih untuk berkunjung ke pelbagai festival dan aktiviti hiburan menarik yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan. Akhirnya Ramadan tidak lagi ditanggapi bulan ibadah tetapi lebih kepada bulan masyarakat galak berpesta.
Senario sebegini juga ada kesamaannya dengan masyarakat kita di Malaysia. Ramadan di tanah air juga seringkali ditanggapi sebagai bulan berpesta. Cuma pesta yang dimaksudkan lebih kepada pesta makanan. Tidak hairanlah ramai yang selalu terlebih bajet setiap kali Ramadan. Budaya bermewahan dalam membeli juadah berbuka bagaikan sebati dalam masyarakat kita. Malah perbelanjaan bulanan musim Ramadan sering meningkat lantaran keghairahan berbuka puasa di hotel-hotel terkemuka.
Budaya bermewahan dalam perbelanjaan makanan pada bulan Ramadan ini pastilah bertentangan dengan prinsip Islam. Al-Quran jelas mengingatkan: Dan makan dan minumlah, tetapi jangan membazir secara berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan (Al-A’raf:31)
Fenomena berpesta tidak kiralah sama ada pesta hiburan seperti di Dubai dan pesta makanan di Malaysia tentunya tidak secocok dengan makna dan nilai Ramadan itu sendiri. Penyimpangan budaya yang berlaku ini amat berkait-rapat dengan kecelaruan masyarakat dalam menanggapi Ramadan yang difahami dalam konteks ritual dan bukannya ibadah hakiki yang mempunyai makna spiritual.
Natijahnya kita menyaksikan fenomena berpuasa di kalangan umat kini hanya sekadar memenuhi tuntutan ritual keagamaan yang lompong makna dan nilai. Kita berpuasa dari pagi hingga ke malam kerana orang sekeliling kita berpuasa. Kita menahan lapar dan dahaga tapi pada masa yang sama perlakuan maksiat tidak terjaga.
Kita sebenarnya terlupa hakikat bahawa Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk kita menyucikan diri kita daripada daki-daki kemungkaran. Kita terleka hakikat Ramadan yang memberi peluang keemasan untuk kita mendapat keampunan dan pemeliharaan daripada azab api neraka.
Dalam konteks inilah Nabi SAW pernah bersabda: Amat besar kerugian bagi mereka yang hanya melihat Ramadan datang dan pergi. Maka Jibrail berkata kepadaku, ‘Moga dibinasakan Allah sesiapa yang hanya melihat Ramadan datang dan pergi tanpa beroleh keampunan’. Dan aku pun menyahut amin (Hadis riwayat Tirmizi dan Ahmad).
Demikianlah peringatan Nabi SAW kepada umat agar jangan sesekali dipersia peluang yang dibuka luas oleh Allah untuk kita mendapat keampunan dan ganjaran berlipat- ganda di atas setiap amalan pada bulan yang penuh barakah ini. Kegagalan kita mengambil kesempatan yang diberikan ini hanya akan mengundang kecelakaan dan kerugian besar ke atas diri sendiri.
Moga-moga segala penyimpangan budaya dan kecelaruan pemikiran dalam menyambut kedatangan Ramadan ini dapat kembali dijernihkan agar falsafah dan makna sebenar Ramadan mampu dihayati secara seutuhnya. Hanya mereka yang memahami hakikat ini sahaja yang mampu ditingkatkan ketakwaan sekaligus memperoleh keberkatan Ramadan yang dijanjikan Allah. - utusan/bicara agama
![]()
0 comments:
Post a Comment