Rakan WARTAMAYA

Sunday, January 2, 2011

Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Pertikai NKRA Najib


SHAH ALAM 2 JAN : Kejayaan Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA dalam mengurangkan kadar jenayah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini tidak menterjemahkan bahawa Malaysia menjadi lebih selamat.

Tulisan bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Lin See Yin dalam edisi permulaan kolum StarBizWeek dalam akhbar The Star semalam menyatakan bahawa yang paling penting adalah pendapat umum dan bukannya keputusan GTP/NKRA yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

See Yin dalam tulisannya itu berkata ukuran kemajuan dalam empat bidang iaitu membasmi rasuah, memerangi jenayah, pendidikan dan dasar penswastaan yang disebut Najib seharusnya menjadi keutamaan bagi menyakinkan rakyat dan pelabur.

"Ia tidak cukup apabila dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2010, jenayah turun sebanyak 16 peratus (tetapi 132,355 kes yang dilaporkan masih tidak diselesaikan) dan jenayah jalanan turun 38 peratus (18,299 kes yang dilaporkan tidak diselesaikan) atau 648 orang ditangkap kerana rasuah.

"Masyarakat umum dan pelabur seharusnya dapat merasakan kesan pembaikkan tersebut. Statistik mentah dan berat sebelah tidak boleh menceritakan kisah sebenar dan ia juga tidak menyakinkan.

"Ketika ini, rakyat dan pelabur belum lagi 'merasai' kesan pembaikan dalam situasi jenayah dan rasuah. Itu lebih penting," tulis beliau.

Dalam tulisan itu See Yin turut berkongsi insiden dari pengalamannya sendiri bagi mengukuhkan lagi dakwaaanya.

Beliau di dalam tulisannya menceritakan bagaimana kesengsaraannya selepas kereta miliknya hilang di kawasan pejabatnya di Damansara Height.

"Walaupun terdapat bit(pondok) polis berhampiran tetapi saya terpaksa membuat laporan di balai polis yang lebih jauh dan ia mengambil masa tiga jam hanya untuk membuat laporan tersebut.

"Rakyat dan pelabur tidak merasa selamat walaupun data menunjukkan sebaliknya," katanya lagi.

Tulisan tersebut kata Penasihat DAP Lim Kit Siang mencerminkan keadaan sebenar dan pada masa sama mengesahkan tanggapan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bahawa kadar jenayah masih lagi di takuk lama.

Ujar Kit Siang lagi, masalah tersebut bukan hanya memberikan impak serius kepada daya saing antarabangsa Malaysia, mengecilkan pelaburan luar langsung dan kedatangan pelancong ke negara ini malahan turut melemparkan keraguan terhadap kredibiliti kerajaan pimpinan Najib. - tvselangor

--------------------
Biase la ..
Lepas dah jadi bekas .. baru boleh komen.
Kalau tak .. miss soruuuu .... .!
Wakakak !!!

Share/Bookmark

0 comments:

Blog list